Wednesday, January 21, 2009

Tangan Yang Indah

Assalammualaikum dan salam sejahtera,

Ibu, Emak, Umi dan Mama suatu panggilan yang sering kedengaran dari seorang kanak-kanak. Panggilan manja untuk mendapatkan bantuan dan pertolongan dan sentiasa mengharap dengan penuh kasih sayang. Sekiranya tiada seorang yang kita panggil ibu atau mama atau emak atau umi mungkin kehidupan kita tidak semudah dan seindah sekarang.
Merekalah yang telah berkorban untuk kepentingan diri kita, bersusah payah untuk melihat kita berjaya didalam kehidupan dan sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan keriangan akan kita perolehi didalam kehidupan kita.

Namun apakah kita menyedari bahawa tangan-tangan yang menjaga kita, wajah-wajah yang memberikan kegembiraan kepada kita sikit demi sedikit telah dimamah usia, wajah yang jelita sebelum ini telah menjadi semakin tua. Tenaga yang begitu kuat sebelum ini sudah semakin lemah namun kasih sayang yang telah diberikan semasa kita masih kecil sehingga sekarang tetap tidak berubah, malah kasih tersebut semakin besar dan kuat buat diri kita.
Tetapi apakah perasaan yang dirasakan oleh anak tersebut, mungkin semasa kecil tidak menyedari apakah perasaan kasih dan sayang, yang kita sedari hanya kita mahu ayah dan ibu memenuhi segala keperluan dan kehendak kita. Kita merasakan bahawa seorang ayah dan ibu perlu memberikan apa yang perlu dan dikehendaki oleh diri kita. Ini satu tanggung jawab mereka.

Hari ini bagaimana pula perasaan kita terhadap mereka, bila cuti adakah kita melapangkan waktu untuk bertemu dan menziarahi mereka yang telah kesunyian, tiada lagi suara-suara kecil yang memanggil mereka, tiada lagi kedengaran suara nakal yang mahukan dan meminta-minta, kehidupan mereka mula dengan mengisi hari-hari yang berlalu dengan mengingatkan nostalgia dan pengalaman lama untuk mengembirakan hati yang lara.
Mereka mengulang tayang peristiwa-peristiwa lama semasa kita kecil untuk mengembirakan hati mereka, mereka amat-amat berharap agar tangan-tangan kecil suatu masa dahulu dapat memeluk diri mereka untuk mereka mengimbau kembali suasana bagaimanakah dengan penuh kasih sayang mereka telah membesarkan diri kita dan menjadikan kehidupan itu penuh bermakna.

Namun hari ini begitu ramai anak-anak yang telah lupa, lupa bahawa mereka telah pernah dibesarkan oleh seorang wanita yang di panggil ibu atau emak atau umi dan mama. Mereka telah tidak menghiraukan diri yang telah dimamah usia ini, membiarkan mereka kesunyian, menanti kehadiran anak-anak yang tak tentu akan kunjung tiba. Anak-anak sibuk dengan berbagai kerja yang tidak pernah habis dan sentiasa berkejar-kejar untuk mendapatkan kehidupan yang sementara.

Apabila mereka telah pergi baharu kita merasai akan kehilangan dan pada masa itu segala penyesalan sudah tidak bererti lagi, dunia kita telah berbeza, walau bagaimana kita merintih untuk menyatakan yang kita sayang akan diri mereka, namun dunia kita telah berbeza, mereka tidak akan mampu mendengar apa yang ingin kita katakan, katakanlah sekarang semasa mereka boleh mendengar lagi, peluklah mereka sekarang semasa mereka boleh merasainya, ciumlah mereka sekarang walaupun pipi tersebut telah berkedut kerana sekarang mereka amat-amat memerlukan sentuhan dari diri kita yang bergelar ANAK.

Semuga kita menjadi seorang anak yang soleh dan solehah. AMIN
Src : Fwd email.
---------------------------------------
Semoga permohonan rayuan untuk menunaikan haji tahun ini yang aku usahakan bersama akak dan abang ipar untuk mak dan abah, diluluskan. AMIN.

No comments: