Wednesday, February 25, 2009

Misteri Terjawab - Part 2

Aku ingin menyambung kisah rumahku yang diserbu pihak pencegah maksiat semalam. Jiran sebelah menyatakan anaknya yang bongsu terjaga dari tidur gara2 rumahku diketuk dengan kasar semalam. Dan anaknya terus tak boleh tidur malam tu sebab ketakutan. Ramai jiran2 yang datang bertanya. Malu memikirkan pandangan jiran terhadap aku dan Aida. Entah sumber dari mana dia orang dapat. Dan cara mereka telah mengaibkan kami sebagai penyewa di situ. Hasilnya, terbukti maklumat yang mereka terima itu, SALAH. Kenapa mereka tak buat operasi di kawasan Teluk Chempedak yang terang terangan dipenuhi pasangan muda sehingga ke subuh? Ramai kawan2 mengusulkan agar aku membuat aduan. Terima kasih kepada yang prihatin. Di sini, aku ingin berkongsi dengan anda semua akan apa yang dikatakan oleh bekas Mufti Perlis.



Berikut adalah petikan dari laman web Dr. Mohd Asri Zainul Abidin - http://drmaza.com/home/?p=480

Amat dukacita bagi masyarakat kita, jika kita sibuk mendedahkan maksiat yang tertutup yang disuruh oleh prinsip Islam agar kita tidak membukanya, dalam masa yang sama kita membiarkan berleluasa maksiat yang terbuka yang dilakukan atas pentas, dalam filem dan dijual dengan harga yang mahal.

Amatlah dukacita jika penguat kuasa agama ada masa yang cukup untuk pergi mengintip, memecah pintu milik peribadi orang lain bagi memastikan maksiat wujud ataupun tidak, namun dalam masa yang sama tiada masa untuk menghenti suami yang zalim memukul isteri yang sudah berulang kali membuat aduan, tidak cukup masa untuk menyelesaikan kes-kes kezaliman rumah tangga dan seumpamanya.

Aduhai dukacita, jika mereka bersemangat sampai sanggup tunggu pukul 2, 3 pagi untuk mengintip pasangan berkhalwat tetapi tiada cukup tenaga untuk membantah majalah-majalah yang terang-terang siang dan malam dijual yang mempamerkan aksi-aksi panas pasangan yang tidak berkahwin. Kita cari yang tersembunyi, kita biarkan yang nyata.

Saya tahu sebahagian penguat kuasa itu ikhlas. Namun, bak kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H):


“Oleh kerana ini menjadi batasan setiap amalan soleh, maka penyuruh kepada makruf dan pencegah daripada munkar itu sendiri wajib memenuhi tuntutan tersebut. Justeru tidak menjadi amalan soleh jika tidak dengan ilmu dan fiqh. Ini seperti kata ‘Umar bin ‘Abd al-Aziz: Sesiapa yang mengabdikan diri kepada Allah tanpa ilmu, maka apa yang dia rosakkan lebih banyak daripada apa yang dia baik… Ini suatu yang jelas. Sesungguhnya tujuan dan amalan jika tidak dengan ilmu maka ia adalah kejahilan, kesesatan dan mengikut hawa nafsu -seperti yang dijelaskan sebelum ini-. Inilah perbezaan antara golongan jahiliah dan golongan Islam. Pelaksana Al-Amr bi al- Ma‘ruf Dan al-Nahy ‘An al-Munkar mestilah mempunyai ilmu mengenai makruf dan munkar, serta membezakan keduanya. Mestilah juga memiliki ilmu mengenai keadaan orang yang disuruh atau dicegah tersebut”. (rujukan: Ibn Taimiyyah, Majmu‘at al-Fatawa, 14/344-345, Riyadh: Maktabah al-‘Abikan)

2 comments:

Fiwdaus said...

Dalam hadis Muslim, seorang lelaki datang kepada Nabi saw dan berkata:

“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu.”

Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya:

“Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”.

Nabi saw tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi saw menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya)

“Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114).

Maka ada seorang bertanya:

“Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah?

Jawab Nabi saw:

“Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

Eny said...

terima kasih firdaus kerana sudi berkongsi. sedih lagi ni tau